Tuesday, July 6, 2010

Ibadah Aqiqah



PENGENALAN AQIQAH

Pengertian Aqiqah dari segi bahasa:

Aqiqah menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari.

Antara definisi lain;

Aqiqah menurut bahasa ertinya `memotong’ . Pada asalnya ialah rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan dengan aqiqah kerana ianya harus dipotong ( dicukur ).

Menurut Istilah pula aqiqah ialah Haiwan yang disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut kepala bayi itu.

Pengertian Aqiqah Menurut Syara`:

Menurut istilah hukum syara’, aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”

Antara pengertian lain;

Aqiqah dalam pengertian syara` ialah binatang ternakan yang berkaki empat (bahimatul an`am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.

Dalam bahasa Arab, kata bahimatul an’aam (binatang ternakan) adalah termasuk unta, lembu, kerbau,biri-biri,kibas dan kambing, bukan yang lain. [Al Jabari, 1994]

SEJARAH ASAL-USUL IBADAH AQIQAH

Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa ” Pada zaman Jahiliyyah, apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.Menurut riwayat Ibnu Sakan pula ” Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu.

Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah s.a.w. Baginda saw menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.

HUKUM AQIQAH

Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad saw ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hassan dan Hussain alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam, lalu Baginda saw bersabda yang maksudnya :

“Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.”

[HR. Abu Daud]

Maksud hadis daripada perkataan (“suka atau ingin” menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan barulah ianya dipanggil aqiqah wajib.

Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” [HR. Tirmizi]

“Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi]

Rasulullah s.a.w. bersabda : ” Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” [HR. Riwayat Tirmizi]

Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.

JENIS HAIWAN DAN KADAR AQIQAH

Haiwan yang digunakan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.

1. Kambing, biri-biri dan kibas – melebihi satu tahun

2. Lembu dan Kerbau- melebihi dua tahun

3. Unta- melebihi lima tahun

Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak(Bahimatul An’aam)-yang mempunyai empat kaki- dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.

Menurut Imam Malik,Asy-Syafi’e,Ahmad dan jumhur ulama’ , bahawa aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki(Bahimatul An-`aam) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dan kibas (sama seperti ibadah korban). Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;

1. Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.

2. Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.

3. Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.

4. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.

5. Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.

Manakala,rusa, kijang dan kancil tidak termasuk dalam kategori Bahimatul An’aam.Maka ketiga-tiga haiwan tersebut(rusa,kijang dan kancil) tidak dibolehkan untuk dijadikan sebagai haiwan aqiqah.

Yang lebih utama(Afdhal) untuk kadar aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah 2 ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, kerana ada hadis riwayat Aisyah yang maksudnya:
“Rasullulah s.a.w. memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”

Perlaksanaan ibadah aqiqah dianjurkan baik untuk anak lelaki mahupun anak perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bemaksud;
” Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” [HR. Ahmad & Tirmizi].

Rasulullah bersabda; ” Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.” [HR. Ibnu Abi Syaiban].

Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara;

Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama syariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.

Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan 2 ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.

Walaubagaimanapun,anak lelaki sebaik-baiknya(afdhal) diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing,manakala anak perempuan pula seekor kambing. Akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut, ini kerana Rasulullah s.a.w. sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan; ” Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengaqiqah Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” [HR. Abu Daud].

Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah s.a.w telah membuat aqiqah Hasan dan Husin, masing-masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).

Dalam menentukan waktu yang terbaik untuk seseorang itu melaksanakan aqiqah, kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyatakan bahawa penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh, jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Adapun jika pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah tersebut.

Rasulullah s.a.w bersabda; ” Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi].

Apabila anak sudah dewasa, maka sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.
Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah dirinya sendiri.

Ibadah Korban

IBADAT KORBAN

Definisi
Apa yang disembelih daripada unta, lembu, kambing atau kibas semata-mata menghampirkan diri kepada Allah pada hari raya. Asal disyarakkan ibadat korban ini melalui firman Allah dalam ayat 2 surah al-Kauthar yang bermaksud : Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Maksud "nahr" dalam ayat ini mengikut pandangan yang paling ramai dan sohih adalah membawa maksud korban binatang-binatang korban.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud bahawa nabi S.A.W telah mengorbankan dua kibas yang mempunyai tanduk yang besar. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri. Baginda menyebut nama(Allah) dan bertakbir. Baginda meletakkan kedua luntut baginda di atas bahagian (berhampiran) tengkok keduanya.

Hikmat daripada pensyariatan ibadat korban

1.Ibadat korban sama sebagaimana ibadat yang lain adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
2. Menghidup dan mengingatkan semula pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail.
3. Menghidupkan suasana bantu-membantu antara yang kaya dan miskin dengan ketibaan hari raya dengan sedikit bantuan daripada daginmg-daging korban yang disedekah.
4. Mengeratkan lagi ukhwah Islamiah yang terbina dan menyiramkan ruh bermasyarakat.

Hukum ibadat korban

Hukumnya adalah sunat muakkad(digalakkan) tetapi ia akan menjadi wajib dengan 2 sebab iaitu :

Pertama : Dia mengisyaratkan kepada binatang yang berada di bawah peliharaannya yang baik untuk dikorbankan maka dia berkata : "Ini adalah binatang korbanku" atau "Aku akan berkorban dengan kambing ini" sebagai misalnya. Jika dia berkata sebagaimana tersebut maka dia diwajibkan berkorban.

Kedua : Dia mewajibkan dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan korbannya seperti katanya : "Untuk Allah atasku untuk berkorban". Maka dengan ini maka dia diwajibkan berkorban yang mana ia menjadi hukum sebagaimana orang bernazar.

Mereka yang disuruh untuk melakukan ibadat korban

Disunatkan melakukan ibadat korban ini kepada mereka yang mempunyai syarat-syarat berikut :
1. Islam dan tidak diminta kepada orang kafir
2. Telah baligh dan berakal yang mana tidak dituntut kepada yang belum baligh atau pun gila
3. Mempunyai kemampuan yang mana mempunyai kewangan yang berlebihan daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungannya samada makanan, tempat tinggal dan pakaian sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Binatang yang disyarakkan untuk dijadikan korban

Tidak sah untuk dijadikan binatang korban selain daripada unta, lembu(termasuk kerbau), kambing(termasuk biri-biri dan kibas dan seumpamanya). Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah dalam ayat 34 surah al-Haj : Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka. Maka Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa kerana itu berserahlah dirimu kepadaNya. Dan berilah khabar gembira kepada mereka yang tunduk dan patuh(kepada Allah). Binatang ternakan(al-An'am) tidak terkeluar daripada maksud jenis binatang yang tiga tadi. Ini kerana tidak pernah diriwayatkan samada daripada nabi S.A.w sendiri atau pun sahabat tentang binatang korban yang selain daripada tiga jenis tadi.
Mengenai binatang yang paling utama dari segi kelebihannya ada ulama' yang mengatakan unta kemudian lembu dan seterusnya kambing dan ada pula yang berpendapat kambing yang lebih afdhal.
Dibolehkan melakukan ibadat korban dengan berkongsi tujuh bahagian daripada seekor unta atau pun lembu tetapi bagi kambing hanya untuk seorang sahaja.Ini adalah mengikut kepada perbuatan Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Jabir telah berkata : Kami telah melakukan ibadat korban bersama Rasulullah S.A.W pada tahun Hudaibiah seekor unta daripada tujuh bahagian dan lembu daripada tujuh bahagian.
Kita juga diharuskan berkongsi satu daripada tujuh bahagian samada daripada seekor unta atau lembu walau pun dengan niat yang berbeza seperti ada yang berniat korban, ada yang berniat aqiqah, ada untuk dijual dan ada untuk nazar dan sebagainya. Cuma hukum untuk daging tersebut mengikut apa yang diniatkan oleh seseorang.

Syarat binatang korban

Pertama : Umur
-Bagi unta mesti genap enam tahun dan setengah berpendapat sudah cukup hanyan lima tahun.Manakala lembu atau kerbau apabila berumur tiga tahun dan setengah berpendapat cukup dua tahun. Sementara kambing dan seumpamanya telah genap dua tahun atau pun bersalin gigi iaitu gugur gigi depannya walaupun belum cukup dua tahun iaitu biasanya enam bulan.
Dalilnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh oleh imam Ahmad daripada Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik binatang korban itu ialah kambing yang telah bersalin(gigi).

Kedua : Selamat daripada sebarang penyakit
- Iaitu mesti selamat daripada sebarang aib yang boleh menyebabkan kurangnya daging. Tidak sah korban kambing yang gila, tempang yang jelas, mempunyai kecacatan atau penyakit dan terpotong sebahagian daripada badannya.
Imam Tarmizi dan Abu Daud telah meriwayatkan daripada al-Barra' bin 'Azib daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Empat perkara yang tidak dikira pada binatang korban : keaiban yang jelas keaibannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas ketempangannya dan sakit gila.
Diqiaskan daripada empat kecacatan atau keaiban tadi maka dikira apa yang seumpamanya merupakan perkara yang boleh menyebabkan korban tidak dikira.

Waktu korban

Bermula daripada selepas terbitnya matahari hari raya eidil Adha dengan kadar cukup untuk menunaikan dua rakaat hari raya dan dua khutbah hari raya. Waktu ini berterusan sehinggalah terbenam matahari hari tasyriq iaitu hari 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu yang paling afdhal (lebih baik) untuk melakukan penyembelihan binatang korban adalah sebaik selesai menunaikan solat sunat hari raya eidil Adha sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim: Permulaan apa yang kami mulakan dengannya hari ini adalah solat, kemudian kami pulang maka kami sembelih korban. Maka sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menurut sunnah kami. Dan sesiapa yang sembelih sebelum itu maka sesungguhnya ia merupakan daging yang diberikan kepada ahlinya bukannya daripada ibadat pada sesuatu....Makna khabar ini ialah sesiapa yang sembelih binatang korban sebelum masuk waktu solat hari raya eidil Adha dan berlalunya masa yang memungkinkan dia melakukan solat padanya maka sembelihannya tidak dikira ibadat korban tetapi menjadi sembelihan biasa sahaja.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Habban daripada Jubir bin Mut'im telah berkata : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dan setiap hari-hari tasyriq merupakan hari sembelih...

Apa yang perlu dilakukan dengan daging korban

Pertama : Sekiranya korban itu wajib seperti nazar maka daging korban itu tidak boleh dimakan oleh oarng yang melakukan korban itu dan juga semua ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Sekiranya ada dikalangan mereka tersebut makan daripada daging korban itu maka dia wajib menggantikannya samada dengan daging lain atau pun harga daging dengan kadar yang telah dimakan.

Kedua : Sekiranya korban sunat maka dia boleh memakan daging korbannya lebihan daripada apa yang telah disedekah.Yang lebih afdhal dia makan sedikit daripada daging korban itu sebagai mengambil berkat dan disedekahkan yang selebihnya. Untuk makan satu pertiga, satu pertiga untuk disedekah kepada orang miskin dan satu pertiga selebihnya untuk dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran-jirannya walaupun mereka kaya.Tetapi pemberian kepada mereka yang kaya untuk dimakan bukannya untuk jualan berlainan dengan pemberian kepada orang miskin adalah sebagai pemilikan samada untuk dia makan atau dibuat apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
Asal daripada hukum tersebut menurut kepada maksud ayat 36 surah al-Haj : Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri , Kemudian apabila telah roboh (mati) maka makanlah sebahagiannya dan berikanlah makan oarng yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.
Bagi mereka yanmg melakukan korban juga diminta memberi sedekah kulit binatang korbannya atau pun dia sendiri yang menggunanya. Dia dilarang menjualnya atau pun memberinya kepada penyembelih sebagai upah bukannya sedekah. Ini adalah kerana perkara itu boleh menyebabkan berlakunya kekurangan daripada binatang korban dengan merosakkannya pada perkara yang dilarang. Apa yang diriwayatkan oleh imam al-Baihaqi daripada nabi S.AW telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang menjual kulit sembelihan maka tidak dikira korban baginya.



Biografi
1. Al-Quranul karim
2. Feqhul Minhaji karangan Doktor Mustafa Khan dan sahabat, Darul Qalam

Persoalan

Saya ingin melakukan ibadah aqiqah untuk anak lelaki saya. Umum mengetahui bahawa ibadah aqiqah untuk anak lelaki adalah afdal baginya 2 ekor kambing.

Soalan;

1) Bagaimana jika saya melakukannya dengan seekor kambing, adakah aqiqah itu menjadi tidak sempurna?
2) Abang saya telah menghadiri ceramah agama yang berkaitan dan mengatakan ibadah aqiqah ini ibarat setem.
Umpama surat tanpa setem. Doa anak tidak akan sampai kepada orang tuanya jika anak itu tidak diaqiqahkan.

wa`alaikumus salam.

1. kalau tidak mampu boleh ber`aqiqah untuk anaklelaki seekor kambing.
2. Doa anak tetap sampai kepada orang tuanya jika anakitu tidak diaqiqahkan, cuma di akhirat nanti anak itu tidak dapat memberi shafaat kepada ibu bapanya.

Ada orang aqiqahkan 7 orang anak dengan seekor lembu kerana di kiaskan dengan qurban. Apabila saya teliti hujah-hujah ulama yang qiaskan aqiqah dengan qurban ini nampaknya amat lemah sekali. Sebab itu ramai juga ulama yang berpendapat tidak sah aqiqah dengan lembu
kerana dzahir hadith dengan kambing. Mengkiaskan aqiqah dengan kurban adalah satu kesilapan keranaqurban pada hakikatnya tak sama denagn aqiqah.

Namun begitu dalam kitab Tarbiyatul Aulad, kalau tak silap saya Sheikh Nasih Ulwan ada bawa hadith Ibnu`Abbas pernah mengaqiqahkan anaknya dengan seekor unta. Anaknya ini seorang ,bukan 7 orang.Kerana itu ada juga ulama yang berpendapat bahawa boleh aqiqah dengan lembu tetapi mestilah seorang anak dengan seekor lembu, bukan 7 orang seekor lembu sebagaimana
qurban. WALLAAHU `AA`LAM.

sumber: ustaz zaharuddin

Aqiqah :Bagaimana dan bilakah masa yang paling digalakkan untuk melaksanakannya?

Melaksanakan ibadah aqiqah ialah dengan melakukan sembelihan pada hari ketujuh kelahiran anak sehinggalah akil baligh anak tersebut.

Apakah hukum melaksanakan ibadah aqiqah?


Hukum – Sunat yang dituntut ( muakad )

Berapa bilangan (ekor) haiwan ibadah aqiqah yang di galakkan?

Menurut hadis yang telah di sebutkan diatas, sekurang-kurangnya bagi seorang anak perempuan adalah seekor kambing dan bagi anak lelaki pula di galakkan dengan dua ekor kambing.

Bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya sendiri jika belum diaqiqahkan sewaktu kecil dahulu?

Boleh melakukan aqiqah tersebut dan hukumnya harus.

Jika saya tidak mempunyai masa dan sring sibuk, bolehkah saya mewakilkan pelaksanaan aqiqah kepada pihak ketiga?

Boleh dan hukumnya harus bagi kita untuk mewakilkan ibadah qurban mahupun aqiqah kepada pihak lain.


Apakah hukum melaksanakan ibadah qurban?

Hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkad. Ini bermakan ia adalah ibadah sunat yang sangat-sangat di tuntut oleh Islam keatas umatnya untuk di lakukan jika berkemampuan.


Berapa bilangan (ekor/bahagian) haiwan ibadah qurban yang di galakkan?

Bagi setiap seekor lembu, unta atau kerbau itu boleh dibahagi kepada 7 bahagian. Bahgian paling sedikit yang harus dilakukan oleh seseorang itu adalah satu bahagian dan tiada batasan untuk bilangan paling banyak. Seseorang muslim itu boleh melaksanakan ibadah qurban ini sebanyak mungkin mengikut kemampuannya. Adapun bagi kambing pula, bagi seekor kambing tidak boleh dibahagi mengikut bahagian seperti lembu. Maka bagi setiap kambing itu adalah untuk seorang muslim sahaja.

sumber ezqurban.com

Hubungi Kami

ZA FARM
Zul
016-6181882 / 016-6026253

Taman Sri Kantan
Kajang, Selangor

website kami klik sini